JellyPages.com

Saturday, 16 March 2013

berubah

Ramai orang nak berubah, nak berada di jalan-Nya. Jalan yang diredhai-Nya. Tapi bukan semua orang dapat kekuatan untuk berubah. Hanya mereka yang diberikan cahaya dan petunjuk akhirnya dapat menukar cara hidup, dari seorang yang mengabaikan agama, kepada mereka yang menerapkan Islam dalam kehidupan seharian. Ada juga yang mula-mula dapat keyakinan, tapi hangat-hangat tahi ayam. Untuk beberapa minggu sujud menghadap Tuhan, tapi kemudiannya berakhir dengan kembali ke jalan lama.

Persoalannya, kenapa? Kenapa mula-mula boleh, tapi berakhir dengan sebuah kegagalan. Nak salahkan syaitan yang menggoda dan menyesatkan umat manusia? Sila sedar, bukan kita sahaja yang berhadapan dengan godaan makhluk yang direjam itu. Bukan kita sahaja yang bernafsu untuk kembali ke jalan lama. Semua orang digoda, dan hanya segelintir yang dapat mengekalkan diri di landasan yang betul. Kenapa kita tidak termasuk dalam segelintir itu? Adakah hidayah yang diterima dari-Nya tidak mencukupi untuk mengekalkan kita sebagai muslim yang sejati?

Baru-baru ini saya menonton video UAI di you tube. Soalan yang dikemukakan kepadanya berbunyi begini  lebih kurang (saya kurang ingat):

"Ustaz, saya dulu suka minum arak, tak pernah sembahyang dan sebagainya. Sekarang, saya hendak insaf, dan saya sudah meninggalkan arak. Tapi, dimana saya patut bermula semula??"
Dan jawapan yang dijawab oleh UAI.

"Diri kita ibarat kain. Jadi, menurut ulama', kain, apabila sudah kotor, maka yang perlu dilakukan ialah membasuh kain tersebut..... (ini hanya sebahagian dari jawapan)"
Cukup simbolik bukan? Dan semalaman saya tidak tidur, memikirkan kata-kata tersebut. Benar, 'kain' yang sudah kotor berlu dibersihkan dengan sebersih-bersihnya. Maksudnya, bagi orang yang pernah melakukan dosa, dan berniat untuk menyucikan diri dari segala dosa, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah meninggalkan dosa tersebut. Kembali kepada fitrah manusia yang suci ibarat kain putih semasa dilahirkan, sucikanlah kembali kain kita yang kotor kepada kain yang putih bersih. Dan meninggalkan dosa tersebut bermakna meninggalkannya dengan sepenuh hati, bukan bila hendak insaf tolak tepi, bila leka dan alpa kembali ke jalan lama.

Dan, setelah 'kain' tersebut dibersihkan dari segala cela dan noda, barulah kita boleh menggunakan atau menghiasi kain tersebut. Perkara asas yang perlu dilakukan ialah dengan mendirikan solat 5 waktu. Bagi sesetengah orang, solat 5 waktu ibarat makan kacang, senang untuk dilakukan dan diamalkan, malahan, mereka mampu untuk menambah beberapa bilangan rakaat untuk solat sunat. Namun begitu, bagi sesetengan orang, sangat sukar dan payah untuk dilakukan. Ada juga yang mampu untuk melakukan rukun islam yang lain seperti mengucap dua kalimah syahadah, puasa di bulan ramadhan, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, namun tidak mampu untuk mendirikan solat 5 waktu sehari semalam.

 Sebenarnya, disinilah Allah menguji kita. Sanggupkah kita meninggalkan tilam yang empuk dengan pendingin hawa pada waktu pagi semata-mata untuk bangun dan menunaikan solat 2 rakaat? Adakah kita mampu untuk meninggalkan urusan duniawi pada waktu tengah hari untuk bertemu dengan-Nya melalui solat zohor 4 rakaat? Bolehkah kita menahan diri dari bermain di padang, atau berjoging, atau mungkin menghabiskan masa dengan tidur,  untuk mengabdikan dirikepada-Nya dalam solat asar 4 rakaat? Atau cukup kuatkah iman kita (pada masa ini, kanak-kanak lebih kuat godaanya kerana banyaknya kartun-kartun yang disiarkan pada waktu maghrib. namun tidak terkecuali orang dewasa yang meminati drama-drama di televisyen) untuk meninggalkan rancangan yang kita gemari demi menunaikan solat maghrib 3 rakaat? Dan bagi yang suka menunaikan solat isyak sebelum tidur, mampukah kita menahan diri dari tidur untuk menunaikan solat isyak sebanyak 4 rakaat?

Ya, bukan mudah bagi mereka yang tidak biasa dengan rutin seperti ini intuk memuatkan solat dalam jadual seharian mereka. Namun, fikirlah sejenak, jika orang lain boleh, mengapa bukan kita? Kita semua dilahirkan sama, tiada lebih dan tiada pula yang terkurang. Mungkin cara kita dididik sejak kecil yang membezakan kita semua, tapi hakikatnya? Kita semua datang dari sehina-hina air mani, yang bercantum dengan ovum. Itulah kita. Dan kita juga dari satu keturunan yang sama, keturunan Nabi Adam dan umat Nabi Muhammad s.a.w. Justeru, mengapa kita tidak meletakkan diri setaraf dengan mereka yang beribadat kepada-Nya?

Tidak perlu beria-ia memulakan penghijrahan anda secara drastik. Dari tidak pernah menunaikan solat, terus kepada menunaikan solat sunat 50 rakaat sehari semalam. Cukuplah dengan memfokuskan diri dengan perkara-perkara wajib yang perlu kita lakukan. Biasakan diri dengan solat sebelum menambah bilangan rakaat solat sunat. Yang paling penting, berdoalah kepada-Nya. Kerana sesungguhnya Dialah yang mengurniakan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.
 

No comments:

Post a Comment